Nasional

‘Ikon Madani Muda’ dicadang untuk iktiraf belia berbakat industri kreatif

Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad mencadangkan supaya Kerajaan Perpaduan mengiktiraf belia berbakat dalam industri kreatif digital sebagai ‘Ikon Madani Muda’.

Belia berkata, dengan adanya ikon-ikon muda, ia akan memberi cerminan bahawa orang muda profesional mampu memecah tembok viraliti perniagaan berpaksikan ilmu dan adab yang seiring, sekali gus memberikan nilai tambah kepada pembangunan negara.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana telah menyediakan dana sejumlah RM346 juta dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk menarik penglibatan golongan belia dalam aktiviti kreatif yang menawarkan pendapatan yang tinggi.

“…kreativiti tinggi yang dimiliki boleh menyumbang kepada pendapatan yang lumayan, lebih-lebih lagi pada masa ini apabila ramai anak muda mendapat manfaat daripada platform digital untuk menjana pendapatan,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Selain itu, beliau yang juga Ketua Wanita Umno turut menyarankan kepada kerajaan supaya meneroka pelaburan dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) dengan lebih agresif memandangkan minat golongan muda ketika ini yang lebih cenderung kepada bidang itu.

“Mahu atau tidak, kita harus mengakui bahawa begitu banyak ekonomi masa hadapan yang bergantung kepada bidang ini.

“Kalau Intel Corporation sudah berada di Malaysia sejak 1972, saya percaya kerajaan juga mampu membawa syarikat AI yang paling berkuasa NVIDIA melabur di Malaysia,” katanya.

Related Articles

Back to top button