Semasa

KBS lancar Y-Capsule, kemudahan transit RAHMAH untuk belia di Ibu Kota

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Rabu melancarkan Youth Capsule (Y-Capsule) @IYCResidence yang merupakan kemudahan inapan kepada golongan belia yang mencari peluang pekerjaan di ibu negara.

Menterinya, Hannah Yeoh pada sidang media selepas melancarkan Y-Capsule di Kuala Lumpur berkata, kemudahan itu disasarkan kepada golongan sasar berusia 18 hingga 40 tahun dengan kadar RAHMAH hanya RM10 sehari.

Ia jelasnya diwujudkan berdasarkan statistik bahawa 38 peratus dari golongan gelandangan di ibu negara merupakan golongan belia berusia 18 hingga 30 tahun.

“Program ini menyasarkan belia yang berhasrat untuk menjalani latihan industri, pencari kerja dan golongan yang telah bekerja tetapi tidak mempunyai tempat untuk menginap.

“Saya harap ia akan menggalakkan lebih ramai belia memperolehi motivasi untuk mendapatkan pekerjaan khususnya yang datang daripada luar bandar dengan kadar yang murah,” katanya .

Hannah yang juga ahli Majlis Pekerjaan Negara turut menjelaskan, menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, setakat suku kedua tahun ini, daripada 16.15 juta pekerja dalam negara, 6.08 juta ialah belia.

Justeru beliau turut menyatakan harapan agar gensi kerajaan lain mewujudkan ruang sama seperti diperkenal KBS bagi membantu golongan belia.

Sementara itu difahamkan, fasiliti yang terletak di bangunan sedia ada Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras itu akan mula beroperasi pada Jumaat dengan menyediakan lima bilik dormitori.

Selain mempunyai kapasiti 54 katil, pusat itu turut dilengkapi kemudahan lengkap seperti peralatan masak, dobi layan diri, internet serta perhentian bas berdekatan untuk penginap.

Related Articles

Back to top button