Semasa

Laporan polis dibuat, ADUN Pas didakwa main isu 3R menjelang PRK Pelangai

Satu laporan polis difailkan pegawai khas Ahli Parlimen Bentong terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka Shahril Azman Abd Halim

Ahmed Wafiuddin Shamsuri membuat laporan berkenaan di Balai Polis Manchis di Bentong pada petang semalam dengan mendakwa Shahril Azman telah memainkan sentimen 3R (kaum, agama dan institusi diraja) di akaun TikTok beliau.

“Pemilik akaun ini jelas menyebarkan satu fitnah jahat dan memainkan sentimen 3R yang bahaya dan boleh mengganggu-gugat ketenteraman serta (menimbulkan) kegusaran dalam masyarakat,” katanya dipetik laporan Bernama.

Terdahulu satu rakaman video tular memaparkan seorang individu dipercayai pemimpin PN itu membuat kenyataan yang menyentuh hak Bumiputera selain turut menyentuh nama Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan DAP.

Video itu juga menunjukkan pemimpin Pas itu sedang berkempen di Felda Sungai Kemahal yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, sebelum hari penamaan calon yang ditetapkan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan.

PRK Pelangai diadakan ekoran penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya itu berlangsung pada 7 Oktober dengan hari penamaan calon pada 23 September manakala hari pengundian awal ialah 3 Oktober ini.

Related Articles

Back to top button