Global

Lawatan PM Anwar ke Nanning bakal jalin lebih banyak kerjasama ekonomi China- Malaysia

Malaysia dijangka menerima lebih banyak pelaburan dan kerjasama dari lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Nanning, China pada Ahad ini

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika ditemui pemberita dalam satu program di Putrajaya pada Rabu berkata, hasrat menarik lebih banyak pelaburan dan kerjasama perniagaan itu mampu direalisasikan hasil hubungan dua hala yang rapat antara kedua-dua negara khususnya antara Anwar dengan rakan sejawatan dari China (Li Qiang).

“Lawatan Anwar sebanyak dua kali ke republik itu dalam tempoh beberapa bulan adalah satu pengiktirafan bahawa China antara rakan perdagangan utama yang mempunyai banyak sinergi di antara kedua-dua negara.

“Amat jelas setiap kali Perdana Menteri ke China, bukan sekadar beri senyuman dan lambai tangan, ia disusuli dengan banyak perkara.

“Saya tahu ada Memorandum Persefahaman (MoU), pelaburan yang dibawa ke Malaysia, malah pejabatnya sentiasa mendapatkan perkembangan dengan jabatan berkaitan,” kata Rafizi.

Media sebelum ini melaporkan Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menghadiri Ekspo China-Asean Ke-20 (CAEXPO) 2023 di Nanning dan lawatan itu antara lain bertujuan mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara serta sebagai persiapan bagi meraikan ulang tahun ke-50 hubungan Malaysia-China.

China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar sejak 2009 dengan nilai perdagangan antara Malaysia dan China pada tahun 2022 mencecah 17.1 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia yang bernilai RM2.8 trilion.

Related Articles

Back to top button