Nasional

PM Anwar yakin Malaysia mampu dipacu lebih baik berbanding zaman kegemilangannya

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsikan visi untuk membawa Malaysia kembali ke status negara unggul yang dicapainya pada 1990-an.

Hasrat itu dinyatakan tokoh reformasi itu dalam ucapan di Milken Institute Asia Summit 2023 di Singapura pada Rabu.

Perdana Menteri berkata cita-citanya untuk membawa kembali Malaysia ke era kegemilangan mampu dicapai berdasarkan senario semasa dan pasukan yang ada,.

“Kita harus mempercepatkan proses dan mempercepatkan reformasi yang kita janjikan kepada negara,” katanya semasa sesi khas bertajuk ‘Bicara Bersama Perdana Menteri Malaysia’ yang disiarkan secara langsung dalam talian.

Mengulas lanjut mengenai visi tersebut, Anwar turut membayangkan Malaysia akan berkembang sebagai negara contoh pelbagai kaum yang menghayati kemanusiaan dan belas kasihan.

Bagaimanapun, itu jelasnya akan bergantung kepada keupayaan kerajaan untuk mentadbir dengan adil dan saksama.

“Apa sahaja masalah yang perlu kita hadapi buat masa ini, dengan gelombang perkauman dan ketaksuban agama, saya percaya ia hanya menunggu masa. Dengan keyakinan, ketekunan, dan matlamat yang jelas, kita akan dapat membawa Malaysia ke hadapan.

“Dengan dasar-dasar ekonomi yang tepat dan jelas, Malaysia boleh mencapai prestasi lebih baik berbanding 1990-an, berkat komitmen kerajaan terhadap tadbir urus yang baik, elemen yang sering kali tiada di kebanyakan negara-negara membangun,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button