Nasional

Tambahan tiga buah tren baharu mula beroperasi di laluan LRT Kelana Jaya – Loke

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook hari ini mengumumkan penambahan tiga tren empat koc baharu yang memulakan pengoperasian di laluan transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya menerusi projek Kenderaan Tambahan Kuala Lumpur (KLAV 27), hari ini.

Menurutnya, kumpulan tren pertama di bawah projek KLAV27 sudah diterima secara berperingkat bermula September 2020.

“Sebanyak 11 buah tren (daripada 27) diterima setakat ini dan kekerapan perkhidmatan laluan itu ketika inisudah ditambahbaik menjadi kurang daripada empat minit pada waktu puncak.

“Baki 16 set tren akan diterima secara berperingkat bermula bulan ini sehingga Disember tahun depan,” katanya

Beliau berkata demikian selepas sesi tinjauan pengoperasian tren KLAV27 baharu bagi LRT laluan Kelana Jaya dari stesen LRT Universiti, di Petaling Jaya, hari ini.

Menurut Loke, dengan penambahan tiga set tren baharu yang mula beroperasi hari ini dan juga perlaksanaan inisiatif penyelenggaraan Rapid Rail ke atas komponen kritikal, LRT Laluan Kelana Jaya kini beroperasi dengan purata sebanyak 44 buah tren pada waktu puncak.

Beliau berkata, jumlah tren itu meningkat berbanding 38 buah tren dan ia sekali gus akan memendekkan waktu menunggu.

Tambah Loke, penambahan tren itu juga diharap mengurangkan masalah teknikal.

“Sejak kebelakangan ini kurang masalah ‘breakdown’ dan ‘KJ Line’ (laluan LRT Kelana Jaya) juga berfungsi dengan baik.

“Pastikan ‘breakdown’ tak berlaku dan minimakan masalah teknikal kerana ia akan menarik lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Dalam pada itu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) pengendali perkhidmatan rel utama di Lembah Klang, mensasarkan kekerapan tren setiap tiga minit pada waktu puncak di laluan LRT Kelana Jaya menjelang tahun depan.

Loke yakin sasaran itu dapat dicapai selepas kesemua 27 tren baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya di bawah projek tren empat gerabak baharu (KLAV27) yang bernilai RM1.72 bilion beroperasi Disember tahun depan.

Beliau berkata, pengoperasian tren baharu itu akan terus menambah baik kekerapan tren di laluan terbabit yang kini 3.8 minit.

“Ia lebih baik untuk penumpang kerana tak perlu sesak dalam tren.

“Muatan sekarang 125 peratus melebihi kapasiti kerana waktu puncak ramai penumpang berpusu-pusu, jadi kita harap dapat capai (sasaran) dalam masa terdekat kerana melihat trend peningkatan penumpang masa ke semasa yang mencecah 250,000 sehari. Kita sasarkan 300,000 (penumpang) tahun depan,” katanya.

Related Articles

Back to top button