Politik

Umno bakal kukuh hubungan dengan parti komponen PH – Setiausaha Agung

Umno membuat keputusan untuk memperkukuh dan memperkasakan hubungan kerjasama dengan rakan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) di semua peringkat.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung parti itu, Asyraf Wajdi Dusuki pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dipengerusikan Presiden Umno Zahid Hamidi malam tadi.

Menurut Asyraf, langkah mengukuhkan kerjasama itu diambil bagi memastikan kestabilan politik negara dan kemakmuran rakyat melalui kerajaan perpaduan sebagaimana ketetapan MKT pada 23 Nov 2022 dan diabsahkan di Perhimpunan Agung Umno 10 Jun lalu.

“Umno juga akan membuat penambahbaikan dan pemerkasaan berpandukan dapatan bedah siasat keputusan PRN enam negeri lalu.

“Ia telah pun diperincikan dan diperoleh daripada bahagian Umno seluruh Malaysia termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri,” katanya

Sementara itu, Asyraf turut memaklumkan parti itu juga akan mengadakan konvensyen bahagian yang akan memfokuskan aspek pengukuhan organisasi parti dan “membumikan” kefahaman ahli di peringkat akar umbi.

“…mengenai ketetapan-keterapan dasar parti yang menyentuh soal prinsip dan hala tuju perjuangan parti dalam kerajaan perpaduan,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button