Umur persaraan Hakim Mahkamah Syariah dicadang dinaikkan kepada 66 tahun – Menteri Agama
Umur persaraan Hakim Mahkamah Syariah di seluruh negara dicadang dinaikkan kepada 66 tahun berbanding 60 tahun ketika ini, selaras dengan umur persaraan hakim Mahkamah Sivil di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkara itu akan diteliti selaras keperluan semasa dan penambahbaikan institusi kehakiman syariah di negara ini.
Katanya, perkara itu antara yang disuarakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin ketika kunjungan hormat di Istana Seri Kinabalu, di Istana Seri Kinabalu, semalam.
Beliau berkata, Tun Juhar mencadangkan umur persaraan hakim syarie di Sabah dan di negeri lain disamakan dengan umur persaraan hakim mahkamah sivil ketika ini, iaitu 66 tahun.
“Dalam kunjungan bertemu Tuan Yang Terutama Tun, saya ada berbincang secara khusus berkaitan dengan perkembangan kehakiman syariah di Sabah dan Tun menyambut baik usaha-usaha ke arah memperkasakan Mahkamah Syariah di Sabah.
“Ini kerana pada masa ini umur persaraan bagi hakim syarie bukan sahaja di Sabah, malah di seluruh negara adalah 60 tahun,” katanya.
Mohd Na’im berkata, menerusi cadangan itu ia diyakini dapat memperkasakan lagi mahkamah syariah selain memastikan hakim dapat terus menyumbang kepada perkembangan perundangan kehakiman syariah di Sabah dan seluruh negara.