Semasa

Kerajaan setuju gubal beberapa akta bagi pastikan pentadbiran lebih telus

Kerajaan secara prinsipnya bersetuju untuk Akta Kebebasan Maklumat digubal, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Melalui kenyataan semalam PMO memaklumkan, akta itu akan mewujudkan parameter serta garis panduan jelas bagi memberi akses kepada orang awam untuk mendapatkan maklumat daripada badan awam dan kerajaan.

Keputusan itu yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) pada Khamis adalah bertujuan memastikan penyampaian perkhidmatan awam dapat dipertingkat dan menggalakkan penglibatan rakyat dalam proses pembentukan dasar negara.

“Selaras dengan keputusan tersebut, Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) juga akan dipinda sewajarnya,” kata kenyataan tersebut.

Kerajaan menurut kenyataan itu telah bersetuju menggubal Rang Undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan bagi memperkasa tata kelola perolehan kerajaan secara perundangan bertujuan meningkatkan kebertanggungjawaban pihak terlibat dalam perolehan.

“Mesyuarat juga bersetuju supaya prinsip ketelusan diambil kira dalam RUU Perolehan Kerajaan yang bakal digubal dengan mewujudkan mekanisme aduan dan bantahan selaras dengan piawaian antarabangsa.

“Bagi memastikan anak syarikat ditubuhkan bawah badan berkanun ditadbir lebih profesional berlandaskan prinsip tata kelola baik, aspek pengawasan perlu diberi perhatian.

“Mesyuarat bersetuju supaya rangka kerja perundangan sedia ada dan baharu diteliti ke arah pengamalan tata kelola baik dalam kalangan entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan,” katanya kenyataan tersebut.

Selain itu, mesyuarat juga mengambil maklum tentang 18 resolusi hasil daripada dua sesi Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 dan 2023 yang mengemukakan syor penambahbaikan daripada sudut perundangan dan dasar berkaitan tata kelola, integriti serta antirasuah.

“Resolusi ini akan diteliti untuk dijadikan input dalam pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang baharu,” kata kenyataan tersebut.

Related Articles

Back to top button