Parlimen

Parlimen Belia dirombak, jadi platform lahirkan pemimpin generasi muda keterampilan

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memaklumkan bahawa proses pengundian ahli perwakilan Parlimen Belia akan dirombak secara besar-besaran mulai tahun depan

Perkara itu dimaklumkan dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bersama-sama ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat di Parlimen pada Khamis.

Mengulas lanjut Johari berkata, rombakan itu akan dibuat berikutan keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang bersetuju menyerahkan program itu kepada pihak Parlimen untuk diuruskan.

“Parlimen Belia akan dijadikan program inkubator untuk melahirkan barisan kepimpinan generasi muda yang berketerampilan,” katanya.

“Kita ingin melihat anak-anak muda yang berkebolehan, berketerampilan, berpendidikan dan mempunyai wawasan untuk sama-sama menyumbang dalam Parlimen Belia. Kita berharap Parlimen Belia akan menjadi satu lonjakan untuk belia insya-Allah menjadi Ahli Parlimen pada masa depan.” katanya.

Sementara itu, menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept, Johari turut menggesa semua pihak untuk bersama-sama menggembleng tenaga dalam meningkatkan daya saing negara dengan mengetepikan individualisme dan bersama-sama menjiwai semangat kenegaraan.

Ini kerana keampuhan semangat negara bangsa akan terbina menerusi semangat kenegaraan daripada kesatuan dan kesepaduan rakyat.

“Dalam memaknai Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, perpaduan kaum dan integrasi nasional di Malaysia wajar ditekuni melalui lima prinsip Rukun Negara dan cita-cita yang terkandung dalam tekad itu.

“Sesungguhnya, semangat kenegaraan yang terlahir daripada kesatuan dan kesepaduan rakyat akan membina negara bangsa yang ampuh serta melonjakkan kemampuan daya saing Malaysia di arena global,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button