Semasa

Penerokaan REE di Kedah dicemari skandal pemerdagangan manusia, dedah Saifuddin

Kes penerokaan nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik, Kedah yang dilapor media baru-baru ini mengandungi elemen pemerdagangan manusia dan buruh paksa, dedah Kementerian Dalam Negeri.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, pekerja yang juga warga asing telah dijadikan buruh paksa tanpa bayaran untuk mengeluarkan REE dari lokasi.

“Berkenaan berlakunya kecurian nadir bumi yang melibatkan penangkapan 52 warga asing. Dalam warga asing itu, ada rakyat negara jiran, bila disiasat polis, ternyata mereka bekerja tanpa upah.

“Itu antara amalan buruh paksa, disuruh korek lubang, gali, keluarkan bijih itu kemudian tidak dibayar upah. Bila polis tangkap, itu ada elemen perdagangan, ada elemen perdagangan manusia dan buruh paksa,” katanya.

Saifuddin berkata begitu selepas melancarkan Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia 2023 di Putrajaya pada Khamis.

Beliau sementara itu turut mendedahkan kebanyakan warga asing yang dijadikan buruh paksa rata-rata berasal daripada negara Myanmar dan Nepal dinajikan bayaran antara RM80 hingga RM100 sehari namun tidak dibayar.

Justeru, suspek yang juga warga tempatan telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Bila pihak berkuasa bertindak, kita bukan semata-mata hendak kejar penarafan tetapi kuat kuasakan usaha membanteras amalan buruh paksa,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button