Semasa

Penganjur demostrasi esok tak hormat sambutan Hari Malaysia – Menteri KDN

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membidas tindakan panganjur Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang mahu mengadakan demonstrasi pada Sabtu.

Tindakan tersebut tegas Saifuddin adalah tidak menghormati semangat sambutan Hari Malaysia yang disambut pada tarikh sama (16 September) yang sangat signifikan dan sarat dengan semangat saling hormat dan kepatuhan kepada undang-undang.

Penganjuran demostrasi pada tarikh sama juga jelasnya menunjukkan sikap penganjur yang tidak hormat terhadap amalan hidup toleransi dan perpaduan antara kaum dan agama di negara ini.

“Mereka juga tidak menghormati kelompok daripada rakan-rakan kita di Sabah Sarawak yang mana tarikh itu amat penting sekali kepada mereka. Sebaiknya jangan pilih 16 September kerana itu tarikh sambutan Hari Malaysia daripada 31 Ogos hingga 16 September.

“Malangnya aktivis Perikatan Nasional (PN) memilih tarikh itu dan apa sahaja alasannya, mereka anggap ia tarikh yang terbaik untuk mereka,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya semalam sempena Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang 2023.

Sementara mengakui beliau sendiri adalah produk yang lahir daripada himpunan jalanan sepanjang 30 tahun dalam politik namun, ketika itu himpunan disertainya mematuhi Akta Polis.

“Selepas itu, akta itu ditambah baik dan dikenali sebagai Akta Perhimpunan Aman merangkumi tiga komponen penting iaitu tanggungjawab penganjur, peserta perhimpunan dan pasukan keselamatan.

“Kalau tengok dalam akta itu, kawasan jadi tempat berhimpun pun ada kawasan boleh dan ada yang tidak boleh. Pertama lokasi dekat rumah ibadah, stesen minyak dan pencawan tidak dibenarkan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, himpunan tersebut akan bermula dari Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Related Articles

Back to top button