Politik

Jentera PH Muar kecewa persahabatan dan pengorbanan dikhianati Syed Saddiq

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekali lagi digesa mengosongkan kerusi yang dimenanginya dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Setiausaha PH Muar, Abdullah Sahid berkata, langkah itu wajar supaya Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pimpinan Syed Saddiq boleh membuktikan bahawa mereka mampu memenangi kerusi itu atas kapasiti parti itu sendiri.

“Syed Saddiq tidak perlu ragu-ragu mengosongkan kerusi Muar sekiranya yakin boleh memenangi semula kerusi ini atas kapasiti Muda.

“Ayuh kita serahkan semula pada rakyat Muar untuk memilih pemimpin tempatan yang benar- benar membawa aspirasi pengundi Muar yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan berganding bahu dalam Kerajaan Perpaduan untuk perubahan Malaysia ke arah yang lebih baik,” katanya dalam satu sidang akhbar di Muar pada Khamis.

Pada Ahad, Muda memaklumkan akan bertindak sebagai pembangkang sekali gus menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu Abdulllah menempelak tindakan Syed Saddiq keluar daripada Kerajaan Perpaduan ketika negara perlukan kestabilan politik bagi memperbaiki kerosakan yang telah berlaku amat tidak wajar.

Dakwanya, Muda sanggup mengambil jalan seperti pihak pembangkang yang berpolitik dan menggugat kestabilan negara demi kepentingan peribadi.

“Kami mewakili 19,961 pengundi Muar dan parti komponen PH iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP yang telah memberikan sokongan pada Syed Saddiq pada PRU15 lepas merasa cukup kecewa terhadap keputusan beliau yang jelas mengkhianati mandat rakyat.

“Kehadiran Syed Saddiq selaku orang luar yang merupakan pengundi DUN (Dewan Undangan Negeri) Perling di Parlimen Pulai sejak 2018 telah kami tatang ibarat minyak yang penuh oleh PH Muar selaku rakan sekutu Kerajaan Perpaduan,” katanya yang percaya kemenangan Syed Saddiq di kerusi Muar pada PRU15 bukan atas merit dan kekuatan Muda tetapi atas dasar sokongan serta dukungan seluruh kekuatan PH Muar.

“Ini dibuktikan dengan data PRN (pilihan raya negeri) di enam negeri yang lalu bahawa MUDA hilang deposit di semua 19 DUN yang ditandingi. Sekiranya MUDA bertanding di Muar tanpa dokongan PH akan memperoleh nasib yang sama. Hilang Deposit,” katanya.

Related Articles

Back to top button