Sukan

PM Anwar perihatin nasib bekas jaguh skuasy, sampaikan sumbangan buat Kenneth Low

Prihatin dengan nasib bekas jaguh skuasy negara, Kenneth Low Ewe Loong yang kini berdepan dengan masalah kesihatan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis menyampaikan sumbangan kepada bekas atlet negara itu.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Anwar berkata sumbangan kewangan peribadi itu disampaikan melalui Setiausaha Politiknya Ahmad Farhan Fauzi ketika menziarahi Kenneth di Wangsa Maju.

Kenneth Low sebelum ini disahkan menghidap penyakit multiple sclerosis dan sedang menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur.

Bekas atlet negara itu mula menyedari penyakit yang dialaminya apabila dia tidak mampu bangun disebabkan kelesuan melampau lalu meminta bantuan abangnya untuk mendapat rawatan awal di Hospital Serdang.

Multiple sclerosis merupakan sejenis penyakit saraf yang berpotensi menyebabkan gangguan pada saraf tunjang dan otak.

”Semoga beliau (Kenneth) diberikan kekuatan dan kesembuhan dengan segera,” katanya.

Turut sama menziarahi Kenneth ialah Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan Noorul Ariffin Abdul Majeed dan Presiden Mutliracial Revert Muslims Firdaus Wong.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Kenneth yang pernah menduduki ranking keempat di Asia dan ke-38 di dunia, bekerja sebagai tukang cuci, hidup dalam kesusahan dan mengalami masalah kesihatan.

Beliau dipercayai mengalami strok sehingga menyebabkan masalah koordinasi dan kemahiran motor, ketidakupayaan kognitif dan gangguan ingatan jangka pendek, selain tidak mempunyai wang untuk melakukan ujian bagi menentukan tahap kerosakan pada otaknya.

Related Articles

Back to top button