Semasa

Bekalan ikan sepanjang tempoh Monsun mencukupi – LKIM

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bekalan ikan negara mencukupi sepanjang tempoh Monsun Timur Laut yang bakal bermula November ini.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, jaminan itu dapat diberikan susulan beberapa inisiatif telah dilaksanakan termasuk menubuhkan pasukan bertindak bagi mengendalikan pusat pengumpulan stok ikan dalam usaha memastikan bekalan bahan mentah itu tidak terputus.

“Kita telah tubuhkan pasukan bertindak untuk melihat kepada keperluan bekalan ikan. Kita tahu akan berhadapan dengan monsun, kita lihat bagaimana rantaian bekalan ikan itu sentiasa ada dan kita ada stok simpanan dan di LKIM sendiri kita ada bilik beku,” katanya pada Program Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Kuala Langat.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada Selasa ini hingga November dan rantau atau pesisir negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir, yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.

Monsun Timur Laut yang dijangka akan berakhir Mac depan pula membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.

Sementara pada program dihadiri semalam itu, Muhammad Faiz turut menyampaikan bantuan ‘Touch Point’ dan peralatan penangkapan ikan berjumlah RM36,000 kepada 50 nelayan, meliputi jaket keselamatan, tong ikan, peti pertolongan cemas, lampu jaring dan bakul makanan.

Related Articles

Back to top button