Uncategorized

Beras: Premis perniagaan terjejas di Negeri Sembilan bakal terima stok bekalan – Exco

Pengguna di Negeri Sembilan digesa tidak membuat pembelian panik terhadap Beras Putih Tempatan (BPT) walaupun diakui sememangnya terdapat isu bekalan makanan ruji itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata pengguna disaran membuat pembelian dalam kuantiti diperlukan sahaja bagi mengelak berlakunya gangguan rantaian bekalan setempat dan merugikan pengguna lain di kawasan tersebut.

“Bekalan di negeri ini memang cukup cuma saya menasihatkan agar pengguna jangan membuat pembelian panik.

“Jika pembelian panik memang stok akan habis,” katanya .

Beliau sebelumnya ditemui pemberita selepas mengadakan pemeriksaan di stor simpanan beras sebuah syarikat pembekal beras di Kuala Sawah, Rantau di Seremban pada Jumaat.

Mengulas lanjut mengenai stok beras beliau menjelaskan, premis perniagaan yang kehabisan stok BPT telahpun membuat tempahan dari pembekal dan akan menerima stok dalam masa terdekat.

Beliau turut menjelaskan, berdasarkan rekod Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup negeri, sejak 7 Julai sehingga 14 September lalu, sebanyak 167 pemeriksaan di bawah Op Jamin meliputi pasar raya besar, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan lain-lain premis perniagaan telah dilakukan

“Sepanjang tempoh tersebut didapati tiada kes penukaran label kampit beras dan harga jualan beras putih tempatan (BPT) adalah mengikut harga kawalan yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu Pengarah Pejabat Kawalselia Padi dan Beras Cawangan Negeri Sembilan, Irwan Ahmad Rejab yang turut hadir dalam lawatan itu memberitahu, terdapat enam aduan berkaitan tiada stok beras daripada pengguna telah diterima pihaknya.

“Setakat ini memang kami ada terima sebanyak enam aduan berkenaan beras tempatan tiada di pasaran. Bagaimanapun, kami telah mengarahkan pembekal untuk menambah stok, bagi pasar raya tiada masalah (stok) akan hantar bekalan secara berkala.

“Bagi stok penggunaan beras tempatan sahaja secara keseluruhan terdapat keperluan sebanyak 3,500 tan sebulan di negeri ini. Walaupun di Negeri Sembilan pembekal adalah kecil tapi kami dapat bekalan dari luar juga secara konsisten,” katanya sambil menasihati pengguna tidak menyimpan stok memandangkan bekalan sentiasa ada.

Related Articles

Back to top button