Jawatan menteri KPDN akan diisi secepat mungkin
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan mengisi kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) secepat mungkin.
Perkara itu dinyatakan Anwar sama ada ada akan berlaku rombakan kecil dalam Kabinet bagi mengisi kekosongan jawatan menteri KPDN itu susulan kematian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.
“Insya-Allah, kita akan isi kekosongan (jawatan), kalau ada cadangan, sila tulis surat kepada saya secepat mungkin,” katanya.
Ditanya sama ada kerajaan akan meletakkan calon Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah), Suhaizan Kayat yang menang di Parlimen Pulai baru-baru ini, Anwar bagaimanapun enggan mengulas perkara itu.
“Kena tulis surat kepada saya, saya timbang,” katanya ketika ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Nasyrul Quran di Putrajaya pada Jumaat.
Media sebelum ini melaporkan dua Ahli Parlimen daripada Amanah disebut-sebut sebagai individu yang akan mengisi kekosongan jawatan menteri KPDN.
Mereka ialah Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari yang kini menyandang jawatan Timbalan Menteri Pertahanan dan seorang lagi Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.