Semasa

Rakyat yang patriotik diseru terus sokong Kerajaan Perpaduan

Rakyat Malaysia diseru supaya terus menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng berkata, rakyat Malaysia di Semenanjung, Sabah dan Sarawak supaya bersatu mempertahankan negara daripada mereka yang mengeksploitasi politik perkauman melampau demi mendapatkan kuasa sehingga sanggup mengorbankan perpaduan dan integrasi nasional bagi memenuhi ketamakan politik masing-masing.

Bukan itu sahaja jelasnya, sekiranya pihak tersebut kembali berkuasa, ia hanya akan merugikan negara susulan kedangkalan mereka mengurus ekonomi seperti yang ditonjolkan sebelum ini.

“Seperti yang telah dibuktikan melalui pentadbiran mereka yang gagal di negeri-negeri yang kekal miskin dan terkebelakang sehinggakan bekalan air bersih pun tidak boleh disediakan.

“Hanya kerajaan perpaduan dapat menjamin kemakmuran untuk rakyat melalui pengurusan ekonomi yang cekap dan cemerlang,” ujar Ahli Parlimen Bagan itu dalam kenyataan perutusan Hari Malaysia.

Sementara itu tambah Guan Eng, walaupun kerajaan perpaduan ini tidaklah sempurna, ia tidak melakukan kesilapan yang tidak boleh dimaafkan malah kekal komited kepada hak-hak asasi yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai rekod, Malaysia hari ini menyambut ulang tahun penubuhan Persekutuan Malaysia yang ke-60.

Sambutan berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching Sarawak dengan slogan berbahasa Iban, “Segulai Sejalai” yang bermaksud ‘berjalan seiringan’,

Related Articles

Back to top button