Menteri sekali lagi beri amaran, jangan jadikan pelajar ‘content’ media sosial
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sekali lagi memberi amaran bahawa kementerianya akan bertindak tegas terhadap guru yang memperguna anak murid untuk kandungan (content) media sosial bagi kepentingan peribadi.
Bagi melindungi anak murid dari diambil kesempatan jelasnya, kementerian juga telah mengeluarkan garis panduan berhubung perkara itu.
“Kita dalam keadaan kebanjiran idola, kemarau tauladan…adalah besar harapan saya untuk melihat warga pendidik menjadi suri teladan dalam masyarakat.
“Rakyat Malaysia itu adalah refleksi kepada gurunya, guru yang berintegriti, guru yang beradab tinggi dan guru yang berakhlak.
“Seorang guru perlu mempertahankan indoktrin kebangsaan dan benar-benar menjulang pendidikan negara,” katanya.
Fadhlina berkata begitu dalam ucapan pada majlis Sambutan Hari Malaysia di Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang, di Kuching.
Pada majlis sambutan itu juga beliau mengumumkan memperuntukkan RM150,000 dari KPM kepada Institut Pendidikan Guru Batu Lintang untuk penyelenggaraan kerja-kerja kecil.
Sementara itu beliau turut mengingatkan penting untuk pendidikan manusiawi diperkasa pada ketika ini sebagai menyokong usaha kerajaan membina Malaysia MADANI.
Sehubungan itu juga jelasnya, KPM pada penghujung bulan ini KPM akan mengeluarkan satu garis panduan dalam menangani kes buli, jenayah seksual dan perkauman.