Uncategorized

Sarawak berterima kasih kepada Anwar Ibrahim

Keputusan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim menurunkan kuasa kepada Sarawak bagi memudahkan pembangunan di negeri itu disambut baik Kerajaan Negeri.

Premier Sarawak, Abang Johari Openg ketika berucap dalam sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di Stadium Perpaduan, Kuching malam ini, katanya langkah itu dapat memastikan pembangunan infrastruktur di Sarawak dapat dilaksanakan lebih cepat.

“Contohnya, penurunan kuasa untuk melaksanakan projek kurang daripada RM50 juta baru-baru ini dan pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri serta Jabatan Pengairan dan Saliran negeri sebagai jabatan teknikal supaya boleh melaksanakan projek infrastruktur dan kemudahan awam lebih licin dan pantas.” katanya.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada Januari lalu mengumumkan kerajaan persekutuan menyerahkan kuasa meluluskan projek pembangunan sehingga RM50 juta kepada kerajaan Sabah dan Sarawak bagi memastikan keputusan segera dapat dibuat, tanpa perlu kata putus peringkat persekutuan.

Sementara itu tambah Abang Johari, kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berterima kasih atas komitmen Anwar merealisasikan MA63 dan memberi jaminan akan terus mendukung pentadbiran kerajaan perpaduan.

“Kerajaan persekutuan yang kukuh dalam suasana kestabilan politik yang kekal saja mampu memikirkan secara fokus keperluan di seluruh negara, khususnya keperluan di Sarawak dan Sabah.

“Kerajaan GPS akan terus memberi sokongan kepada kerajaan perpaduan supaya terus wujud kestabilan lebih kekal agar kerajaan persekutuan boleh mentadbir dengan lebih fokus demi Malaysia yang mampan, lestari dan madani,” katanya.

Related Articles

Back to top button