Parlimen

Kenapa tak pisah kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya ketika PN berkuasa? – Azalina

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memberi jaminan kerajaan komited untuk memisahkan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.

Beliau turut mengkritik kerajaan sebelum ini selain mempersoalkan mengapa tidak dilakukan pemisahan itu sedangkan ketika itu mereka berkuasa.

“Kerajaan Madani hari ini komited untuk memisahkan Peguam Negara daripada kuasa pendakwaan dan kita telah setuju dari segi prinsip, itu satu.

“Keduanya, Jawatankuasa Hak Asasi akan bersama dalam kajian empirikal. Ketiga, saya nak cakap satu saja, kenapa masa Yang Berhormat (dari Perikatan Nasional) jadi kerajaan, tak nak pisahkan Peguam Negara dan kuasa pendakwaan.

“Kenapa tak pisah bila Yang Berhormat jadi kerajaan? Bila belah sana kena, kata pendakwaan terpilih. Bila belah sini kena, kata padan muka. Apa hal?” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Azalina berkata, kuasa untuk mendakwa dan menarik balik pendakwaan terhadap tertuduh di mahkamah adalah di bawah kuasa penuh peguam negara dan ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, dia berkata tidak adil untuk membangkitkan isu pendakwaan terpilih apabila pemimpin PN diheret ke mahkamah, tapi pada masa sama bersorak apabila seteru politik mereka yang didakwa.

“Dalam isu ini, kami cakap, kami buat tetapi Yang Berhormat di sana, bukan saja tak buat, cakap pun tak. Berkuasa empat tahun, saya duduk situ, saya tegur.

“Jangan nak kata pendakwaan terpilih kerana Kerajaan Madani ini komited terhadap tata kelola yang lebih adil. Sebab itu ‘hashtag’ kami, ‘walk the talk’ tapi belah sana, ‘hashtagnya’, ‘they don’t walk and they don’t talk’,” katanya.

Azalina menjawab celahan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang membangkitkan isu pendakwaan terpilih dalam kes-kes mahkamah yang kononnya hanya dikenakan terhadap pembangkang termasuk ketika Jabatan Peguam Negara membuat pendakwaan jenayah terhadap Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Mahiaddin masih berdepan tiga pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Azalina turut menegaskan, selain Yang di-Pertuan Agong, Peguam Negara adalah satu-satunya individu yang mempunyai budi bicara atau kuasa dalam perkara itu seperti yang termaktub dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 145(3) menyatakan bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

“Ini bermakna Peguam Negara ada kuasa untuk mendakwa (seseorang) dan melepaskan (mereka).

“Inilah sebabnya kerajaan komited untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dan kami telah setuju pada dasar mengenai perkara itu,” katanya.

Related Articles

Back to top button