Uncategorized

Kerajaan disaran kaji semula keperluan PRK luar jangka

Sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan luar jangka ekoran kematian penyandang kerusi itu.

Memetik laporan Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan wajar dibuat sedikit pindaan dengan mewujudkan satu peruntukan khas berkaitan ketetapan itu.

Beliau berkata, dengan pindaan itu, kerajaan mampu menjimatkan wang negara daripada terpaksa membelanjakan antara RM4 juta ke RM6 juta bagi setiap PRK.

“Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Peguam Negara perlu mengkaji keperluan itu dalam konteks demokrasi politik negara ini.

“Kewujudan peruntukan khas itu antaranya memberi tanggungjawab kepada parti yang menang kerusi berkenaan sebagai pihak yang akan berhak dan bertanggungjawab menjaga kepentingan atau perkhidmatan kepada pengundi atau rakyat di kawasan terlibat,” katanya.

Laporan portal itu menyebut antara 2008 dan 2013, negara menyaksikan 16 PRK, manakala antara 2013 hingga 2018 dan sepanjang tempoh 2018 hingga 2022 jumlah PRK adalah masing-masing sebanyak 12 kali.

Ia menyebut perbelanjaan besar bagi menjalankan PRK dapat dilihat sebagai contoh untuk PRK Pulai dan Simpang Jeram yang baru berlangsung dengan SPR membelanjakan RM6 juta.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, agak sukar bagi SPR menetapkan satu basis dalam penentuan perbelanjaan setiap PRK berpunca daripada keadaan kawasan (Parlimen/ DUN) berbeza- beza.

Katanya, jumlah pemilih yang berbeza, keadaan muka bumi, jumlah petugas, pengangkutan dan logistik diambil kira dengan anggaran kos PRK bagi Parlimen ialah antara RM4 juta hingga RM6 juta manakala bagi DUN antara RM 1.5 juta hingga RM3 juta.

Berdasarkan fakta anggaran kos tersebut, dia menjangkakan jika purata 20 PRK perlu dibuat dalam tempoh tiga tahun (dua tahun terakhir penggal Parlimen /DUN kekosongan tidak perlu dibuat PRK), kira-kira sejumlah RM120 juta perlu disediakan oleh Kementerian Kewangan sebagai bajet untuk PRK.

Perlu diingatkan bahawa mengikut peraturan sekarang, PRK tidak perlu dijalankan untuk mengisi kekosongan dalam tempoh dua tahun terakhir bagi penggal lima tahun parlimen/DUN.

“Pembaziran wang rakyat juga bertambah yang dibelanjakan setiap agensi kerajaan terlibat membantu SPR dalam menjayakan proses pilihan raya.

“Selain itu, parti-parti politik terpaksa membelanjakan kos tinggi setiap kali terlibat bertanding dalam PRK,” katanya lagi.

Negara akan menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil pada 7 Oktober ini, di kerusi DUN Pelangai di Pahang berikutan kematian penyandangnya Johari Harun yang mewakili Umno/BN dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu.

Awal bulan ini, PRK luar jangka kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada Julai.

Terdahulu, Parlimen Kuala Terengganu muncul PRK pertama yang diadakan serentak dengan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos lalu berikutan keputusan mahkamah membatalkan pilihan raya bagi bahagian Pilihan Raya Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lalu.

Terbaharu, Adun Jepak, Talib Zulpilip meninggal dunia dua hari lalu sekali gus bakal menyaksikan satu lagi PRK di Sarawak yang perlu dilaksanakan.

Related Articles

Back to top button