Semasa

KKM benar Hospital swasta ambil JTWA, pastikan perkhidmatan kesihatan efektif

Bermula 1 Oktober ini, fasiliti kesihatan swasta akan mula dibenarkan mengambil jururawat terlatih warga asing (JTWA) tanpa kelayakan pos basik, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Dalam satu kenyataan Dr Zaliha berkata, kekurangan tenaga kerja jururawat telah memberi kesan yang besar terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan secara efektif.

Isu tersebut juga jelasnya sudah lama dibangkitkan oleh pelbagai pihak dalam rangkaian indisteri perubatan swasta dan harus diatasi.

“Kriteria yang mengekang telah dikaji semula dan diberi kelonggaran bersyarat sementara demi kepentingan perkhidmatan yang lebih mampan dan berdaya saing,” kata Ahli Parlimen Sikijang itu.

Kenyataan itu menjelaskan, antara syarat ditetapkan selepas ini adalah pemohon perlu menduduki ujian Malaysian Nursing Board Qualification Examination for Foreign Trained Nurses yang dikendalikan Lembaga Jururawat Malaysia dan bilangan JTWA di setiap fasiliti kesihatan swasta tidak boleh melebihi 40 peratus daripada jumlah jururawat di fasiliti berkenaan.

Syarat lain adalah pengambilan JTWA adalah sah bagi tempoh 12 bulan sahaja iaitu mulai 1 Oktober 2023 sehingga 30 September 2024 dan pelanjutan perkhidmatan dibenarkan selama 12 bulan mengikut kelulusan Perakuan Pengamalan Sementara (TPC) JTWA serta dinilai semula berdasarkan keadaan dan keperluan semasa.

“Pengambilan JTWA juga hendaklah mematuhi kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri, termasuk perincian gaji dan tempoh kontrak,” katanya.

Sementara itu Dr Zaliha berkata, dengan langkah terbaharu itu, kementeriannya menjangkakan langkah itu akan memberi kesan positif terhadap pelbagai sektor seperti industri pelancongan kesihatan dan seterusnya merangsangkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Keputusan ini disambut baik oleh industri perubatan swasta kerana ia dapat membantu mengoptimumkan pengoperasian dan perkhidmatan mereka,” katanya.

Menegaskan KKM tetap memberi keutamaan kepada kebajikan dan prospek kerjaya jururawat tempatan, Dr Zaliha berkata KKM akan melaksanakan pengambilan tetap graduan Diploma Kejururawatan dari Institut Pengajian Tinggi Awam dan Institut Pengajian Tinggi Swasta secara berfasa bagi tahun 2024 dan 2025.

“Langkah ini diambil untuk mengisi keperluan jururawat di fasiliti KKM dan akan memastikan peluang pekerjaan jururawat tempatan terpelihara,” katanya. September 2023.

Related Articles

Back to top button