KPDN lancar Jualan RAHMAH Beras, usaha ringan beban rakyat
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus mencari cara bagi membantu meringankan beban rakyat di negara ini.
Terbaharu, Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, pihak kementerian akan melancarkan Jualan Rahmah Beras bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga beras import serta ketiadaan beras tempatan.
Melalui program itu pengguna boleh mendapatkan beras pada harga subsidi, menerusi peruntukan RM150 juta yang telah diluluskan di Parlimen oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Beras merupakan barang kawalan yang KPDN tiada kuasa untuk mengawal harganya.
“Akan tetapi apabila hari-hari kita mendengar rintihan rakyat, maka KPDN cuba mencari jalan bagaimana dalam ruang lingkup KPDN kita boleh selesaikan isu kenaikan harga beras import dan ketiadaan beras tempatan seperti yang didakwa,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) bagi KPDN di Dewan Rakyat pada Isnin.
Malaysia ketika ini berdepan isu kekurangan Beras Putih Tempatan (BPT) susulan berlaku ‘panic buying’ oleh pengguna.
Ia berlaku setelah harga beras import meningkat susulan tindakan negara pengeksport mengumumkan menghentikan eksport makanan ruji itu bagi memenuhi keperluan domestik.
Susulan itu, Kerajaan mensasarkan agar Malaysia mampu mencapai tahap sara diri bagi bekalan padi dan beras termasuk melaksana penanaman padi secara besar-besaran di Sarawak dan Sabah tidak lama lagi.
Sementara itu tambah Fuziah, menyedari kebergantungan negara kepada barangan mentah yang diimport seperti gula dan bawang, KPDN telah melaksanakan beberapa mekanisme bagi mengawal harga barangan itu supaya tidak membebankan rakyat.
“Malaysia banyak mengharapkan kepada barang import…Kita terikat dengan dasar negara lain contohnya India tak mahu eksport gula dan ingin menaikkan cukai eksport bawang, maka tentu ia akan meninggalkan kesan kepada negara kita.
“Bagaimanapun kita cuba kawal sebaik mungkin. Contohnya kita letak harga siling supaya kita boleh kawal seperti gula.
“Kemudian ada yang kita kawal dan subsidikan seperti telur gred A, B dan C.
“Di samping itu kita juga ada Jualan Rahmah dan kita beri diskaun 10 hingga 30 peratus,” katanya mengulas usaha kerajaan terus mengawal harga barangan agar tidak melonjak terlalu tinggi.