hiburan

KPWKM akan bantu, pastikan kebajikan Zaiton Sameon

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil maklum kesulitan ditempuhi penyanyi era 1980-an, Zaiton Sameon.

Timbalan Menterinya, Aiman Athirah Sabu memaklumkan pihakya telah mengadakan Ziarah Kasih ke kediaman Zaiton pada Isnin.

“Selepas mesyuarat pasca kabinet di bangunan pentadbiran Parlimen, saya mengambil peluang untuk menziarahi rakan artis yang berita kesukaran hidupnya dikongsi kepada saya lewat petang kelmarin.

“Bersama pengarah dan pasukan Jabatan Kebajikan Selangor, kami hadir mendengar dan melihat sendiri situasi kehidupannya, sekali gus mempertimbangkan apa bantuan yang boleh dihulurkan kepadanya.

“Saya sudah menyerah bantuan keperluan harian dan wang tunai bagi meringankan serba sedikit beban hidup yang dihadapi beliau. Insya-Allah, Zaiton akan dipertimbangkan Bantuan Warga Emas berkadar RM500 sebulan bermula Oktober atau November ini,” katanya menerusi muat naik di laman Facebooknya.

Pada 14 November tahun lalu, Zaiton menerima Kad Orang Upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) daripada JKM Wilayah Persekutuan.

Zaiton pernah mengalami kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada 1990 yang mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia manakala beliau sendir turut parah di bahagian kepala hingga menyebabkan hilang ingatan sementara.

Media baru-baru ini berkongsikan kisah Zaiton,67, yang amat memerlukan bantuan kewangan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengurangkan bebanan kos sara hidupnya.

Bagaimanapun, Zaiton berhadapan masalah apabila tidak tahu bagaimana prosedurnya untuk mengisi borang permohonan bantuan dan berharap JKM dapat membantu.

Sementara itu tambah Aiman Athira, pihak KPWKM turut akan cuba mendapatkan rumah dengan bantuan Rumah Selangorku dan beliau akan merundingkan perkara itu dengan Kerajaan Negeri Selangor.

“Kerjasama erat antara pihak kerajaan dengan komuniti tentunya akan membantu meringankan ujian kehidupan setiap warga kita yang memerlukan bantuan.

“KPWKM sentiasa komited memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada semua kumpulan sasar kementerian,” tambah Ahli Parlimen Sepang itu lagi.

Related Articles

Back to top button