Nasional

Malaysia-China jalin kerjasama perkukuh industri getah negara – Fadillah

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan meneroka potensi kerjasama dengan China khususnya membabitkan teknologi berasaskan getah yang boleh digunakan secara meluas dalam industri pembinaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, industri getah tempatan memiliki penyelidikan tertentu untuk diguna pakai dalam sektor pembinaan termasuk kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC) telah menghasilkan teknologi padu berasaskan produk galas getah seismik.

Katanya, teknologi berkenaan direka untuk menangani pergerakan struktur disebabkan oleh perubahan suhu atau dipasang pada struktur binaan sebagai perlindungan daripada gegaran akibat gempa bumi.

“Saya akan melaksanakan misi perdagangan ke China sebagai susulan daripada perbincangan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Premier China, Li Qiang sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara berkenaan Ahad lalu.

“Antara perkara yang akan dibawa ke sana antaranya adalah hasil produk kita berasas getah untuk diadaptasi ke atas sektor pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Hari Teknologi Lembaga Getah Malaysia (LGM) 2023 di Sungai Buloh, hari ini.

Dalam lawatan rasmi Perdana Menteri ke China, Anwar berkata, Malaysia dan China bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang komoditi dan industri berasaskan pertanian seperti minyak sawit, getah, biodiesel, durian, keterjaminan makanan dan akses kemasukan produk pertanian Malaysia ke pasaran China.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri KPK berkata, LGM dan TARRC telah berjaya menghasilkan penyelidikan dikenali NaturalIFR, di mana produk getah yang dihasilkan menggunakan sebatian NaturalIFR memiliki sifat kalis api serta rendah asap dan toksik.

Katanya, penyelidikan itu menghasilkan produk kalis api di pintu masuk beberapa stesen keretapi di United Kingdom (UK).

“Kerjasama LGM dan TARRC juga telah menghasilkan teknologi padu berasaskan produk galas getah seismik.

“Antara struktur di Malaysia yang dibina menggunakan galas getah seismik adalah Jambatan Kedua Pulau Pinang, bangunan Akademi Hevea Malaysia Langkawi serta bangunan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Lahad Datu, Sabah yang dihasilkan oleh syarikat pembuat produk getah tempatan,” katanya.

Related Articles

Back to top button