Bekalan beras tempatan dijangka kembali stabil dalam sebulan lagi – Mohamad Sabu
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) optimis melaksanakan langkah intervensi bagi menampung kekurangan beras tempatan sebelum bekalan kembali stabil sebulan lagi.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu diambil sama seperti ketika kerajaan berdepan dengan masalah bekalan ayam dan telur baru-baru ini.
Berikutan itu katanya, rakyat diminta tidak membuat pembelian panik berikutan khuatir bekalan beras tempatan tiada di pasaran kerana masalah kekurangan yang berlaku sedang diatasi segera.
“Harga beras tempatan dalam kawalan (pihak kerajaan) dan setakat ini pihak pemborong dan pengilang memberi kerjasama untuk mencukupkan bekalan dalam pasaran.
“Seperti saya sebut dalam Parlimen, kawasan MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) padinya sedang dituai dengan mencapai 20 peratus dan selepas ini ia akan dikilangkan yang seterusnya membolehkan bekalan beras kita ini akan kembali stabil dalam sebulan lagi.
“Tetapi sementara nak sampai sebulan itu, kita akan buat intervensi untuk tampung kekurangan (beras tempatan) melalui FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dan LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Jualan Beras Putih Tempatan termasuk Jualan Agro Madani di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena, hari ini.
Dalam program itu, 22 gerai jualan barang keperluan termasuk penjualan 2,000 kampit beras tempatan 10 kilogram (kg) berharga RM26 sekampit dibuka dalam membolehkan rakyat mendapatkan barangan pada kadar harga jauh lebih murah berbanding pasaran.
Mohamad berkata, hasil libat urus KPKM bersama pemain industri beras negara yang melibatkan pengilang, pemborong dan peruncit bersetuju memberikan komitmen bagi merealisasikan pelaksanaan Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT) di seluruh negara.
“Melalui PKBPT, pengilang akan meningkatkan pengeluaran sebanyak 20 peratus bekalan beras putih tempatan untuk pasaran dalam negara bagi tempoh satu tahun.
“Kita juga akan membuat intervensi di mana terdapat kekurangan, kemudian kita akan tampung melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP),” katanya.
Jelas beliau, pihaknya memahami rakyat memilih untuk mendapatkan beras tempatan memandangkan kenaikan mendadak beras import yang dialami seluruh dunia.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihaknya juga mengambil langkah agresif bagi menangani isu penyelewengan beras tempatan dengan pembabitan pelbagai pihak termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Itu (penguatkuasaan bersama KPDN berhubung kekurangan bekalan beras tempatan) sedang kita tangani yang memang di bawah Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood yang mereka sentiasa membuat serbuan kalau ada aduan.
“Misalnya (aduan) seperti tukar kampit beras yang mana beras tempatan dijual dengan beras import, ini akan diambil langkah secara agresif termasuk KPDN juga sedang turun ke bawah untuk lihat perkara ini,” katanya.