Parlimen

Kajian Separuh Penggal RMK12 lulus di Dewan Rakyat

Dewan Rakyat meluluskan Kajian Separuh Penggal (KSP), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melalui undian suara pada Selasa.

Pada Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan KSP RMK12 dengan menyatakan kerajaan akan membelanjakan sepenuhnya peruntukan RM400 bilion di bawah RMK12 dan menambah siling sebanyak RM15 bilion lagi.

Kesemua kementerian selesai menghabiskan sesi jawapan menteri-menteri bermula Isnin dan diakhiri penggulungan oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan pada Selasa.

KSP RMK12 disediakan bagi mengukur pencapaian sepanjang dua tahun pertama pada 2021-2022.

Selain itu, ia akan mengetahui hala tuju bagi tahun 2023-2025 ke arah mencapai negara mampan, sejahtera dan berpendapatan tinggi dengan mengambil kira cabaran domestik dan trend global semasa.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, sebelum ini dilaporkan berkata, KSP RMK12 perlu dinilai semula sepenuhnya disebabkan sifatnya yang ‘unik’ dan mempunyai dua situasi berlainan.

Katanya, perancangan dibuat Kabinet terdahulu sebelum pandemik Covid-19 sudah tidak boleh lagi dipakai dan kajian separuh penggal kali ini sebagai rancangan baharu negara di bawah Kerajaan Perpaduan

Justeru semakan RMK12 menyaksikan usaha untuk meningkatkan pelaburan dalam sektor strategik, pelaksanaan infrastruktur penting dan menangani isu struktur yang membelenggu negara berdekad lamanya.

Related Articles

Back to top button