Semasa

KPDN bawa isu beras dalam mesyuarat NACCOL hari ini

Isu berkaitan beras bakal dibawa ke Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) hari ini, kata Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Datuk Armizan Mohd Ali berkata antara isu yang akan dibentangkan untuk pertimbangan, adalah hasrat KPDN untuk teliti kesesuaian dan keperluan bersama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) supaya kita diberi punca kuasa di bawah Subseksyen 6(1) Akta 522 (Akta Kawalan Padi dan Beras).

“Kita dimaklumkan Bahagian Kawal Selia Padi bilangan penguat kuasa mereka hanya 190 dan di KPDN jumlah penguat kuasa kita adalah 2,200. Sekiranya KPKM merasakan sesuai untuk dipertimbangkan, kita dapat memperkasakan aspek penguatkuasaan di seluruh peringkat dalam negara,” katanya pada sidang media di Selayang di Kuala Lumpur semalam.

Armizan sementara itu menjelaskan buat masa ini, penguat kuasa KPDN hanya boleh menggunakan Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999, namun tidak boleh campur tangan dalam aspek penentuan harga serta bekalan beras.

Sekiranya cadangan KPDN diluluskan, ia membolehkan (penguat kuasa) bukan sekadar melihat, memantau dan salur maklumat tetapi juga boleh mengambil tindakan penguatkuasaan.

Terdahulu, Armizan meninjau bekalan dan harga barangan keperluan asas seperti beras, minyak, gula dan telur di dua pasar raya di sekitar Selayang.

Sementara itu beliau turut berkata, KPDN akan berusaha untuk menawarkan beras import yang dijual pada kadar subsidi menerusi Jualan Rahmah.

“Kita juga teroka idea untuk tawarkan beras-beras import ini pada kadar subsidi supaya harga lebih rendah agar kita tidak hanya bergantung pada beras tempatan semata-mata. Usaha itu termasuk dengan Jualan Rahmah sebagai mekanisme kepada orang yang memerlukan.

“Dalam Jualan Rahmah itu kita akan memperbanyakkan bekalan beras pada kadar subsidi, bermaksud kita tambah bekalan (beras) setiap kali ia diadakan,” katanya.

Related Articles

Back to top button