Global

Malaysia kutuk keras serbuan di Masjid Al-Aqsa serta penduduk Palestin

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu rejim Israel terhadap jemaah dan pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa, Ahad lalu.

Sementara itu, tiga rakyat Palestin terbunuh dan lebih 30 lagi cedera berikutan serangan tentera Israel ke atas kem pelarian Jenin di utara Tebing Barat.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini berkata, serangan terhadap jemaah adalah tindakan provokasi yang disengajakan dan pencabulan terang-terangan terhadap kesucian tempat-tempat suci, yang jelas bertujuan untuk mencabar status sejarah dan undang-undang Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif.

“Malaysia oleh itu, menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan untuk memastikan rejim Israel bertanggungjawab atas tindakan keganasan berterusan terhadap kemanusiaan dan secara terang-terangan mengabaikan prinsip undang-undang antarabangsa yang tidak terkira banyaknya.

“Semua tindakan provokasi dan keganasan mesti dihentikan segera demi keamanan dan keselamatan. Seharusnya tiada layanan yang tidak seimbang dalam menangani konflik,” menurutnya dalam kenyataan itu.

Komuniti antarabangsa tidak boleh terus mengabaikan serangan berterusan Israel dan dasar aparteid yang melanggar hak asasi, kehidupan, mata pencarian, dan maruah rakyat Palestin daripada pelbagai kepercayaan di tanah mereka sendiri.

Malaysia terus berpegang teguh dengan pendirian berprinsip kami bahawa Palestin layak memiliki negara merdeka dan berdaulat mereka sendiri berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, tambah kenyataan itu.

Kejadian itu berlaku apabila pasukan keselamatan Israel mengusir jemaah dari masjid dan menghalang akses kepada penduduk Palestin yang berusia di bawah 50 tahun bagi memberi laluan kepada peneroka Israel sempena Rosh Hashanah, Tahun Baharu Yahudi, menurut laporan media antarabangsa.

Peneroka Israel yang diiringi dan dilindungi oleh peningkatan kehadiran pasukan keselamatan kemudian membuat serangan provokasi ke dalam masjid.

Banyak negara mengutuk tindakan provokasi itu termasuk Arab Saudi, yang mengecam serbuan masjid oleh sekumpulan ekstremis di bawah perlindungan tentera Israel, tambah laporan itu.

Related Articles

Back to top button