Semasa

MOSTI peruntukkan RM5.3 juta untuk tingkat produktiviti agromakanan

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bakal memperuntukkan RM5.3 juta untuk naik taraf kemudahan dan makmal aplikasi teknologi nuklear bagi mengatasi masalah keselamatan dan jaminan makanan pada masa depan.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata projek itu akan bermula pada tahun ini sehingga 2025 dan akan dilaksanakan Agensi Nuklear Malaysia dibawah kementerian itu.

“Ia bagi meningkatkan keselamatan dan jaminan makanan melalui peningkatan produktiviti agromakanan melalui teknik biak baka mutasi.

“Di samping itu, teknik isotop stabil digunakan bagi menentukan ketulenan makanan serta mengesahkan asal usul produk tersebut,” katanya kepada Dewan Rakyat pada Selasa.

Chang sebelumnya mengulas isu dibangkitkan Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berkaitan pembangunan teknologi digital serta teknologi pertanian yang dikendalikan oleh agensi Kerajaan.

Sementara itu tambahnya ketika ini kerajaan telah menghasilkan beberapa inovasi dengan mengadaptasikan teknologi pertanian moden iaitu pertanian jitu melalui penggunaan imej satelit dan sistem maklumat geografi (GIS).

Malah ia telah digunakan dalam Sistem Maklumat Geospatial Tanaman Padi (MakGeoPadi) di 12 jelapang padi seluas 206 ribu hektar di seluruh Malaysia.

“Pengoperasian Sistem MakGeoPadi juga terbukti berupaya mempercepat dan menjimatkan agihan bantuan subsidi padi kerajaan secara bersasar kepada pesawah yang layak sahaja berdasarkan maklumat kawasan sebenar bertanam padi yang diekstrak melalui imej satelit beresolusi sangat tinggi 0.5 meter,” jelas Ahli Parlimen Tanjung Malim itu.

Related Articles

Back to top button