PM Anwar dan delegasi berlepas hadiri UNGA-78 di New York
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah berlepas ke New York, Amerika Syarikat (AS), malam tadi.
Melalui satu kenyataan di Facebooknya, Anwar berkata beliau bersama Wan Azizah dan delegasi Malaysia memulakan perjalanan menuju ke New York bagi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.
“Dalam perhimpunan bersama pimpinan dunia ini, saya antara lain akan berkongsikan usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim bagi mencapai Agenda 2030, hala tuju negara di bawah kerangka Malaysia MADANI serta beberapa isu global lain,” katanya yang turut meminta rakyat Malaysia mendoakan misi delegasi Malaysia berjalan lancar.
Untuk rekod, ini merupakan UNGA pertama Anwar sebagai Perdana Menteri sejak mengangkat sumpah pada 24 November tahun lalu.
Antara pemimpin dunia lain yang bakal hadir adalah Presiden AS Joe Bide; Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa.
Lebih 150 ketua negara dan kerajaan serta ratusan menteri, diplomat, wakil badan bukan kerajaan dan wartawan berhimpun di New York untuk menghadiri sesi ke-78 UNGA yang bermula Isnin.
Semasa lawatannya, Anwar dijadual menyertai Perbincangan Meja Bulat dengan Fortune 500 Companies dan sesi libat urus dengan Invest Malaysia New York pada Khamis.
Pada hari sama, Anwar akan menghadiri sesi perbincangan dengan Ahli Majlis Hubungan Luar Negeri (CFR), sebuah badan pemikir dan penerbit bebas bukan partisan yang mempromosikan pemahaman mengenai hubungan antarabangsa dan dasar luar negara.
Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan khutbah solat Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY) Jumaat ini sekaligus merupakan pemimpin asing pertama diberi penghormatan sedemikian oleh masjid pertama di bandar itu yang dibuka pada 25 September 1995.
Selain itu, Perdana Menteri juga akan bertemu pemimpin dan kapten industri dari sekurang-kurangnya lima negara semasa lawatan kerja beliau ke sini dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia di mata dunia selain menarik pelaburan ke negara ini.