PM Anwar jadi mangsa fitnah lagi, AMK buat laporan gesa polis siasat
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menjadi mangsa fitnah dengan yang terbaharu didakwa kononnya meninggal dunia.
Susulan itu Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada Selasa membuat laporan polis mengenai hantaran jelik berunsur fitnah yang tular itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Ketuanya, Mohd Izuan Ahmad Kasim berkata, provokasi yang dilakukan individu yang berasal dari Negeri Sembilan itu telah tular di laman media sosial sejak semalam, namun telah dipadamkan malam tadi.
“Kandungan hantaran berdurasi 14 saat itu menunjukkan wanita itu mengaku dia telah menghina Perdana Menteri dan tanpa segan silu meminta mana-mana individu yang tidak berpuas hati dengan kenyataan itu boleh menghubunginya yang berbunyi ‘Ya, saya hina Anwar, tak puas hati? Boleh call saya 0176271588.
“Di sebelah gambar itu wanita terbabit meletakkan paparan bertulis Al-Fatihah dan Salam Takziah berserta gambar Perdana Menteri,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara
Beliau bagaimanapun berkata, hantaran yang sempat tular di media sosial Facebook dan Instagram itu hilang selepas dipadamkan pemilik aplikasi TikTok atas nama Sweet_purple1404.
Sementara itu, Exco AMK, Mohd Afiq Ayob berkata, perbuatan wanita itu adalah biadab dan langsung tidak membawa apa-apa kepada masyarakat.
“Kami tampil membuat laporan hari ini dengan menyerahkan segala bukti video itu serta tangkap layar video itu kepada polis selaku pihak berkuasa berwajib menjalankan siasatan dan mengambil tindakan berlunaskan undang-undang yang ditetapkan.
“Jika video hina yang dibuat oleh seorang dua seperti individu berkenaan tidak diambil tindakan sewajarnya, ia boleh merebak luas dan boleh mempengaruhi generasi muda kita,” katanya