hiburan

PM Anwar sampaikan sumbangan buat artis veteran Zaiton Sameon

Walaupun sibuk berdepan tugas membangunkan semula negara, Perdana Menteri terus mengambil peduli nasib dilalui golongan artis veteran.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menyampai bantuan peribadi kepada penyanyi popular era 1980-an, Zaiton Sameon, 67, menerusi Setiausaha Politik, Ahmad Farhan Fauzi yang berkunjung ke kediaman pelantun lagu Menaruh Harapan itu di Taman Bukit Indah, Ampang.

“Semoga dengan sedikit bantuan disampaikan dapat mengurangkan bebanan dipikul Zaiton dalam meneruskan kelangsungan hidup.

“Selain itu, kami difahamkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengusahakan bantuan bulanan kepada Zaiton. Permohonannya kini sudah diproses,” kata Ahmad Farhan dipetik laporan BH Online.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pembangunan Pejabat Perdana Menteri, Khairy Maamor serta wakil Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor dan JKM Hulu Langat.

Terdahulu, nasib ditempuhi Zaiton mendapat perhatian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Disarankan kepada anda
KPWKM akan bantu, pastikan kebajikan Zaiton Sameon
PM Anwar sampaikan sumbangan buat anak seniman agung negara

Timbalan menterinya, Aiman Athirah Sabu mengadakan ziarah ke kediaman Zaiton pada Isnin dan sekali gus mempertimbangkan bantuan yang boleh dihulurkan kepadanya termasuk Bantuan Warga Emas berkadar RM500 sebulan dan kediaman lebih selesa melalui kerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor.

Sementara itu, Zaiton meluahkan perasaan terharu atas keprihatinan ditunjukkan Perdana Menteri.

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana menghantar wakil menyampaikan sumbangan.

“Bantuan dihulurkan meringankan bebanan, dapatlah saya gunakan untuk kelangsungan hidup dan kos rawatan kaki akibat kecederaan selepas terjatuh ketika mengadakan persembahan di sebuah stesen radio, beberapa tahun lalu,” katanya dipetik laporan sama.

Related Articles

Back to top button