Semasa

Pembangkang dicabar buktikan ada campur tangan dalam kes DNAA Ahmad Zahid

Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak pembangkang yang cuba memberi persepsi kononnya beliau campur tangan dalam kes Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika perbahasan di Dewan Rakyat pada Selasa, beliau menegaskan isu tersebut cuba diperbesarkan walaupun ada duluan berhubung perintah melepas tanpa membebaskan (DNAA) walaupun kes yang dibicarakan sudah berada pada peringkat pembelaan dan wujud prima facie.

Beliau merujuk kes sama yang berlaku ketika pentadbiran terdahulu, termasuk ketika pentadbiran diterajui Perikatan Nasional (PN), antaranya membabitkan kes pendakwa raya melawan Siti Aisyah dan Doan Thi Huong, pada 2019.

Sebagai rekod, Siti Aisyah dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan membunuh warga Korea Utara, Kim Jong-Nam, selepas pendakwa raya menggugurkan pendakwaan terhadapnya, pada Mac 2019.

Selain itu, duluan membabitkan perintah DNAA turut direkodkan bagi kes timbalan pendakwa raya (TPR) melawan (vs) Long Samat pada 1974; TPR vs Johnson Tan Han Seng (1977); TPR vs Zainuddin dan Anor (1986) serta Karpal Sing dan Anor vs TPR (1991).

Justeru, DNAA terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukanlah suatu pertuduhan kali pertama yang dihentikan selepas kes prima facie dibuktikan.

“Ahli Parlimen di sebelah sana (pembangkang) yang tidak mahu disebutkan kerana takut menyinggung…dalam kes DNAA membabitkan kes dibangkitkan, keputusan akhirnya adalah daripada Peguam Negara.

“Ketika saya disergah secara biadap, saya jawab dan saya kata memang betul Putrajaya (Datuk Dr Radzi Jidin) tahu kerana pentadbiran terdahulu dan bekas Peguam Negara, sebab itu dia tak tahan nak dengar penjelasan.

“Kerana mereka biasa dengan sistem berkenaan, mereka ingat saya (akan) teruskan dengan sistem itu,” katanya.

Sementara itu Anwar mendesak pembangkang tidak sekadar menuduh, namun perlu berani tampil mengemukakan bukti berhubung tuduhan terhadapnya termasuk perlu membuktikan beliau mengarahkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk memerintahkan supaya Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

“Muar (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) ini tak dengar penjelasan kita. Saya sebut dalam beberapa kes, termasuk ahli Yang Berhormat di sebelah sana yang kawan Yang Berhormat (Syed Saddiq) sekarang pun ada kes prima facie tetapi dibuang.

“Ada kes seperti Siti Aisyah… ada kes tertuduh sakit. Keputusan Peguam Negara, ‘discretion’ (budi bicara) dia, tetapi kenapa buat tuduhan melulu dan kurang sopan, menyerang Perdana Menteri dan menganggap saya campur tangan.

“Apa bukti saya campur tangan? Peguam Negara itu (Idrus) adalah Peguam Negara yang dipilih ketua Yang Berhormat (Syed Saddiq) dan saya tak tukar Peguam Negara itu.

“Selepas itu saya dituduh bincang (untuk menggugurkan kes Ahmad Zahid). Saya tanya apakah alasan kuat untuk berikan DNAA (terhadap Ahmad Zahid).

“Kemudian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan siasatan diteruskan dan kalau ada bukti tambahan, akan teruskan pendakwaan,” katanya.

Related Articles

Back to top button