Politik

Syed Saddiq macam tak reti bahasa, semua isu dah dijawab, tegas Adam Adli

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim membidas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman setelah Ahli Parlimen Muar itu menggelar Kerajaan Perpaduan sebagai ‘kerajaan NATO’ yang merujuk No Action Talk Only.

Dalam kenyataan menerusi Facebook, Adam Adli menyifatkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebagai ‘tidak faham bahasa’ kerana semua tiga perkara dibangkitkan membabitkan soal peruntukan kepada pembangkang, pengisytiharan harta anggota Kabinet dan pengguguran kes rasuah, sudah banyak kali dijelaskan sama ada di dalam atau luar Parlimen.

Dalam soal pengisytiharan harta, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelasnya sejak Januari menyatakan ketegasannya dan mengarahkan agar mekanisme lebih telus dan menyeluruh disiapkan, bukan sekadar isytihar tanpa format yang khusus.

“Tidak sekadar kenyataan media, ia disepakati menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 17 Bil. 1 Tahun 2023 yang dipengerusikan sendiri Perdana Menteri pada Julai lalu,” katanya.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu turut menjawab persoalan Syed Saddiq berhubung pengguguran kes mahkamah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dijadikannya alasan untuk membawa keluar parti MUDA menyertai pembangkang.

Isu itu juga jelas Adam Adli telah dijelaskan secara terperinci oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen pada Isnin.

“Pengguguran kes mahkamah tentu sekali saya yakin merujuk kepada kes TPM (Timbalan Perdana Menteri) berbanding kes Pagoh, telah dijawab dalam Parlimen secara terperinci oleh Yang Berhormat Azalina atas kapasiti sebagai menteri menjaga undang-undang dan reformasi institusi, ditandai dengan komitmen kerajaan hari ini untuk memisahkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

“Malah isu DNAA (melepas tanpa membebaskan) TPM (Ahmad Zahid) juga telah dibawa kepada perhatian Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, selain bakal dijawab sendiri oleh Perdana Menteri dalam Dewan Rakyat hari ini,” katanya.

Mengenai peruntukan kepada pembangkang, beliau menambah, perkara itu berulang kali diingatkan untuk mereka memulakan rundingan bersama kerajaan, namun sehingga kini masih belum disambut selain ia digunakan sebagai modal untuk bercakar dalam persidangan di Dewan Rakyat serta berkemungkinan sebagai modal membohongi rakyat di kawasan masing-masing seolah-olah kerajaan zalim.

“Soal NATO ini eloklah Saddiq jangan hanya cerminkan kepada perkara mengikut selera beliau.

“Cerminkan juga kepada dasar kebajikan rakyat dikemukakan menerusi Belanjawan 2023 yang lepas dan inisiatif sedang berjalan dalam menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah dan keperluan asas rakyat termasuk sekolah dan fasiliti kesihatan, bekalan air bersih, pemulihan ekonomi pasca pandemik dan transisi tenaga yang bakal bermula kelak,” katanya.

Related Articles

Back to top button