Pilihanraya

Amizar dinamakan calon wakili Kerajaan Perpaduan di DUN Pelangai

Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai

Majlis pengumuman calon disempurnakan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, di Majlis Daerah Bentong, malam tadi.

Amizar, 53, pernah bertanding bagi kerusi DUN Kesulit pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetapi tewas kepada calon Pakatan Harapan, Su Keong Siong.

PRK DUN Pelangai akan diadakan pada 7 Oktober ini susulan kematian penyandang kerusi, Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon berlangsung Sabtu ini, manakala 3 Oktober sebagai hari undi awal.

Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat, calon PH Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang Isa Ahmad.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan ketika melancarkan Jentera BN Pilihan Raya Kecil (PRK) N.36 Pelangai di Simpang Pelangai semalam menggesa Jentera Kerajaan Perpaduan perlu menyantuni setiap pelusuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, bagi memastikan kawasan itu terus menjadi kubu kuat BN di Pahang.

Related Articles

Back to top button