Kes penagih dadah meningkat 27 peratus dalam tempoh enam bulan pertama 2023 – AADK
Kes penagihan dadah di negara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 27 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini iaitu kepada 118,920 penagih, berbanding 93,534 yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, trend peningkatan itu dilihat semakin merisaukan dengan lebih separuh jumlah itu terdiri daripada golongan belia.
“Pada tahun lepas, lebih 137,000 penagih dadah direkodkan dan 65 peratus daripada jumlah penagih itu membabitkan golongan belia dan remaja,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Media AADK di Kuala Selangor, semalam.
Katanya, berdasarkan trend penyalahgunaan bahan terlarang itu dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, penggunaan dadah sintetik dilihat lebih tinggi berbanding dadah organik.
Dalam pada itu, Sutekno mendedahkan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, antara negeri yang mencatatkan nisbah tertinggi bagi setiap 100,000 penduduk terbabit dengan masalah penyalahgunaan, manakala Selangor mencatatkan jumlah penagih tertinggi.
Beliau berkata, antara faktor yang menyebabkan golongan remaja dan belia terjerumus dalam kancah itu adalah waktu lapang mereka tidak diisi dengan sebarang aktiviti.
“Oleh kerana itu, kita lancarkan Skuad Antidadah pada tahun ini untuk memastikan golongan belia ada aktiviti yang berfaedah yang boleh dilaksanakan dan kita akan pelopori melalui skuad ini.
“Kita menyasarkan untuk menarik seramai satu juta ahli Skuad Antidadah menjelang pertengahan tahun hadapan dan setakat ini, kita memperoleh seramai 120,000 ahli.” katanya.
Selain itu, pihaknya turut menyasarkan kadar penagihan dadah berada bawah 400 orang daripada 100,000 penduduk dalam negara ini menjelang 2025, berbanding 426 orang daripada 100,000 penduduk direkodkan tahun lepas, menerusi pelbagai inisiatif agensi itu.
Sutekno turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak menyembunyikan ahli keluarga yang terkesan dengan ketagihan dadah dan tampil ke AADK untuk mendapatkan rawatan.
“Mencegah itu lebih baik daripada mengubati dan ia perlu bermula dari rumah dan diketuai oleh keluarga itu sendiri yang sepatutnya melindungi anak masing-masing,” ujarnya lagi.