Negeri

Lima projek tebatan banjir akan dilaksana di Negeri Sembilan

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan lima projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) akan dilaksanakan di tiga daerah di negeri ini seawal akhir tahun ini.

Menurut Aminuddin, projek berkenaan akan dilaksanakan di Port Dickson, Rembau dan Kuala Pilah bagi mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku di daerah berkenaan.

Lima projek terbabit ialah Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Rembau, PLSB Sungai Linggi Fasa Lima, PLSB Sungai Pedas, RTB Sungai Jelai Kuala Pilah dan RTB Sungai Solok Port Dickson.

“Semua projek ini akan bermula tidak lama lagi dan akan dilaksanakan secara berfasa, bagaimanapun kos projek kita belum dimaklumkan kerana tender sedang dibuka.

“Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang meluluskan projek RTB ini kerana ia dapat mengatasi masalah banjir kilat,” katanya.

Beliau berkata begitu ketika sidang akhbar selepas mempengerusi mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri, di Seremban pada Rabu.

Sementara itu jelasnya, Kerajaan Perpaduan turut sudah meluluskan pembinaan jambatan Bukit Pelandok di Port Dickson.

“Saya berharap dan yakin dengan adanya projek-projek ini, akan dapat merancakan lagi pembangunan negeri,” katanya.

Related Articles

Back to top button