ekonomi

MEDAC lancar Mikro Madani, tawar pembiayaan untuk usahawan mikro hingga RM200,000

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) pada Rabu melancarkan program Pengukuhan Mikro Madani (Mikro Madani) yang menawarkan pembiayaan sehingga RM200,000 kepada usahawan mikro di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, program itu yang memperuntukkan dana keseluruhan RM100 juta dijangka akan memanfaatkan seramai 20,700 usahawan.

“Siri jerayawara Program Mikro Madani juga akan dilaksanakan di seluruh negara bermula di Kuantan pada 22 September, diikuti Kuching (1 Oktober), Johor Bahru (10 Oktober), Alor Setar (12 Oktober) dan Kota Kinabalu (17 Oktober).

“Program Mikro Madani ini adalah sebahagian peruntukan khusus RM400 juta seperti diumumkan oleh kerajaan di bawah kerangka Ekonomi Madani,” katanya pada majlis pelancaran Program Mikro Madani, di Putrajaya semalam.

Sementara itu beliau menjelaskan, program Mikro Madani menyediakan bantuan kewangan kepada perusahaan mikro dalam bentuk geran dan pinjaman serta baucar untuk pendaftaran status Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Pinjaman ditawarkan menerusi lima inisiatif iaitu Geran Perniagaan Mikro (GPM); Pembiayaan Perniagaan Mikro (Micro Biz Financing (MBF); Geran Perniagaan Belia Mikro@TUBE (Tunas Usahawan Belia Bumiputera); (BEEP) Plus Sabah dan Sarawak; Program Peningkatan Enterpris Bumiputera dan Baucar Status PMKS.

“Bagi mempermudahkan permohonan perusahaan mikro untuk Program Mikro Madani ini, permohonan boleh dibuat secara dalam talian (online),” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa PMKS merebut peluang daripada pelbagai inisiatif dan insentif yang ditawarkan di bawah SME Corp sekali gus meningkatkan keupayaan PMKS ke tahap lebih tinggi.

Ewon berkata, kementerian akan terus memberikan sokongan dalam memastikan supaya keupayaan PMKS dapat bersama-sama membantu melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Related Articles

Back to top button