Semasa

Menteri arah siasat segera insiden lori rempuh 11 kenderaan di Putrajaya

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengarahkan supaya siasatan terhadap kemalangan maut melibatkan lori dengan beberapa buah kenderaan lain di Putrajaya semalam dijalankan.

Difahamkan, arahan telah dikeluarkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi menumpukan siasatan termasuk kemungkinan lori terbabit membawa muatan melebihi had.

“Sudah pasti ia kejadian yang sangat menyedihkan apabila lori merempuh kenderaan di sana.

“Melihat daripada gambar lokasi kejadian, muatan lori tersebut agak penuh juga. Jadi kita pasti akan membuat siasatan sama ada terlebih muatan atau tidak,” katanya dipetik.

Anthony berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) National Affairs Conference

Pada Rabu, sebuah lori merempuh 11 buah kenderaan termasuk sebuah motosikal pengiring polis dalam nahas di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara di Putrajaya.

Dua individu dikenali sebagai Faris Haziq Abu Bkar, 25, seorang pekerja Pos Malaysia dan Yuswar Mohd Uyus, 39 yang merupakan kakitangan Mahkamah Ampang maut dalam kejadian tersebut.

Beliau sementara itu menjelaskan konvoi motosikal polis terbabit tidak mengiringi mana-mana VIP sebaliknya adalah raptai untuk acara Le Tour de Langkawi (LTdL).

“Itu adalah latihan untuk LTDL. Ini telah diberitahu kepada saya oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh,” jelasnya.

Ketika kejadian, kesemua kenderaan terbabit berhenti untuk memberi laluan kepada konvoi anggota trafik Le Tour de Langkawi (LTdL) sebelum dirempuh secara kuat oleh lori terbabit.

Related Articles

Back to top button