ekonomi

MOF teliti cadangan penambahbaikan Belanjawan 2024

Semua maklum balas penmbahbaikan dan cadangan baharu Belanjawan 2024 dari semua pihak sedang dalam proses penelitian Kementerian kewangan (MOF)

Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan, berkata MOF menerima maklum balas dan cadangan termasuk daripada pihak kementerian, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu melalui laman web MOF.

“Kementerian lain juga telah menjalankan sesi libat urus masing-masing. Pegawai kita juga telah pergi bertemu dengan semua kementerian dan kerajaan negeri untuk memperoleh maklum balas bagi Belanjawan 2024.

“Pihak kementerian (MOF) kini sedang memproses segala maklum balas dan permohonan termasuk permohonan berkaitan pembangunan bagi Belanjawan 2024 daripada semua pihak,” katanya selepas menghadiri satu program di Kuala Lumpur semalam.

Difahamkan turut diterima adalah cadangan penambahbaikan dasar kerajaan sedia ada seperti dasar gaji minimum dengan terdapat beberapa syarikat dan perusahaan yang menyatakan ketidakmampuan mereka untuk memenuhi tahap gaji minimum yang telah ditetapkan.

Sementara itu tambahnya, Belanjawan 2024 yang dijangka dibentangkan pada 13 Okt ini akan turut memberikan penekanan terhadap usaha menambah baik sistem penyaluran insentif kerajaan bagi memastikan setiap intensif sampai dan dapat dinikmati oleh golongan sasar.

“Kerajaan telah banyak melaksanakan program dan inisiatif di peringkat pusat untuk golongan sasar, namun jumlah golongan sasar yang menerima faedah daripada program dan inisiatif ini tidak mencapai sasaran. Ini yang akan kita kaji puncanya dan tambah baik,” katanya.

Pada Ogos, Ahmad berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengarahkan barisan Jemaah Menteri untuk mengadakan sesi libat urus Belanjawan 2024 selama sebulan bermula pertengahan Ogos ini sehingga September.

Belanjawan 2024 dijangka terus memberikan tumpuan kepada kebajikan rakyat, bantuan diteruskan serta ditambah baik, begitu juga pembangunan prasarana negara.

Related Articles

Back to top button