Semasa

Mosti sasar tingkat nilai pelaburan industri nuklear negara

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang menyatakan hasrat kerajaan untuk meningkatkan penggunaan teknologi nuklear sehingga 40 peratus berbanding 20 peratus ketika ini.

Selain itu jelasnya, selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN) yang baru, kerajaan turut menyasarkan nilai pelaburan industri teknologi nuklear sebanyak RM2.4 bilion menjelang 2030.

“Walaupun negara telah menggunakan teknologi nuklear secara meluas selama lebih 40 tahun, kerajaan berharap dasar yang dilancarkan hari ini dapat membantu negara mencapai sasaran dan ia adalah dasar untuk mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear di negara kita,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malin.

Beliau berkata begitu ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran DTNN di Hotel Marriott Putrajaya pada Rabu.

Menurut Chang lagi, tahap teknologi nuklear negara berada pada kedudukan sangat baik namun kadar penggunaannya masih rendah.

“Sebagai contoh, ia digunakan secara meluas dalam sektor perubatan, juga dalam teknologi makanan dengan pengeluaran berkualiti termasuk beras (yang) lebih tahan penyakit dan lain-lain,” jelasnya.

Chang juga menghuraikan strategi dan inisiatif yang digariskan dalam DTNN itu akan membolehkan negara memaksimumkan penggunaan teknologi nuklear secara aman untuk pembangunan sosioekonomi dan meletakkan Malaysia setanding dengan negara maju lain.

Untuk itu, Chang menegaskan, DTNN menetapkan empat teras strategik, 18 strategi dan 13 sasaran utama yang melibatkan pihak berkepentingan dalam pelbagai sektor ekonomi.

Ia juga mengenal pasti enam sektor fokus utama iaitu, perubatan dan penjagaan kesihatan; makanan dan pertanian; pembuatan peranti dan peralatan; pengurusan alam sekitar dan sumber asli; aplikasi perindustrian serta keselamatan dan keselamatan nuklear.

Related Articles

Back to top button