Nasional

Pembangunan sistem Pangkalan Data Utama siap 60 peratus – Rafizi

Pembangunan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) kini telah mencapai 60 peratus siap sebelum beroperasi sepenuhnya pada Januari tahun depan.

Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli optimis sistem yang menggabungkan maklumat sosioekonomi bagi setiap isi rumah rakyat Malaysia itu siap sepenuhnya mengikut garis masa ditetapkan.

“Mengambil kira keputusan diperolehi Mei (untuk penubuhan PADU) dan kemudian kita bermula Jun, saya boleh katakan ia satu cabaran untuk beroperasi pada Januari namun dalam tempoh dua bulan lebih kita boleh mencapai 60 peratus.

“Insya-Allah dalam tempoh tiga bulan akan datang kita mampu untuk menyiapkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi libat urus pembangunan PADU bersama Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah kementerian serta agensi, di Putrajaya, hari ini.

Pada 15 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju menubuhkan PADU untuk menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara ini bagi memperkemas pelaksanaan subsidi bersasar.

Mengakui penubuhan PADU adalah mencabar kerana perlu menggabungkan data 32 juta rakyat Malaysia dalam tempoh singkat, namun Rafizi berkata, langkah itu perlu dilakukan demi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar kelak adalah adil kepada semua isi rumah.

Malah ujarnya, dengan adanya maklumat tepat menerusi PADU yang dikendalikan sepenuhnya oleh penjawat awam, membolehkan kerajaan merangka program dan strategi berpandukan data dan analisis bagi apa-apa pertimbangan, program, peruntukan dan kumpulan sasaran.

“Kita nak pastikan kemahiran dan kepakaran yang berasaskan data, digital dan sistem dikumpul dan dibangunkan di dalam perkhidmatan awam sesama penjawat awam.

“Ini bukan sahaja soal kos atau soal kebergantungan perunding, yang lebih penting saya nak buktikan kita ada banyak bakat yang boleh dikembangkan dalam bidang GovTech (Government Technology), sains data dan teknologi yang ada dalam kalangan penjawat awam,” katanya.

Pada masa sama, Rafizi berkata, PADU dan GovTech yang dibangunkan oleh penjawat awam akan menjadi bukti mutu, kepakaran dan kemahiran kumpulan tersebut.

Beliau turut berharap ia akan memberi lonjakan kepada masyarakat bahawa golongan tersebut adalah profesional dan cekap dalam bidang teknologi dan digital.

“Aspirasi kita ialah supaya 2 atau 3 tahun daripada sekarang setelah PADU dilaksanakan dan kita mula melaksanakan GovTech secara berperingkat, penjawat awam kita menjadi rujukan dunia daripada segi kemahiran, kepakaran dan kemampuan sekaligus menukar perkhidmatan awam daripada apa yang ada kepada digitalisasi, GovTech dan data,” katanya.

Related Articles

Back to top button