Politik

SG4: PN bersikap anti-federalisme,dakwa Faiz Fadzil

Tindakan Perikatan Nasional (PN) mewujudkan State-Government 4 (SG4) melibatkan empat negeri dibawah pentadbirannya bukti mereka bersikap anti-federalisme dan tidak memahami struktur asas pentadbiran negara digagaskan Perlembagaan Persekutuan

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata tindakan pembangkang mengasingkan Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah daripada Kerajaan Perpaduan adalah suatu yang mengelirukan dan tidak bertanggungjawab, selain memberikan gambaran kepada pelabur bahawa politik nasional masih goyah.

Faiz turut mendakwa tindakan dilakukan itu menunjukkan PN hanya menggunakan Islam pada slogan, tetapi mengamalkan politik kebencian sepertimana masyarakat jahiliah.

“Kerajaan Perpaduan bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperjuangkan nilai penyatuan tidak kira agenda kepartian walaupun individu seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Hadi Awang terus menyemai kebencian terhadap pentadbirannya.

“Pentadbiran Anwar juga tidak pernah meminggirkan mana-mana negeri pentadbiran PN, di mana agensi kerajaan Persekutuan masih berusaha membawa masuk pelaburan bernilai tinggi ke negeri pembangkang.

“Contohnya, pertengahan pertama 2023, Kerajaan Perpaduan telah membawa masuk pelaburan diluluskan RM14.6 bilion ke Kedah iaitu 11 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diterima oleh negara ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau sementara itu menegaskan, keempat-empat negeri itu dikenali sebagai negeri paling miskin dan mundur di Semenanjung Malaysia.

Justeru jelasnya, negeri berkenaan memerlukan koordinasi yang lebih baik dengan kerajaan persekutuan supaya pelan pembangunan dan peruntukan dapat dilaksanakan lebih cemerlang untuk memastikan pertumbuhan ekonominya tidak terabai.

“PN seharusnya fokus kepada urusan pentadbiran, bukannya politiking yang memanjang. Jangan jadikan rakyat sebagai mangsa politik bercelaru PN,” katanya sambil menegaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 telah membuktikan kerajaan hari ini tidak mendiskriminasi mana-mana negeri.

“Perkara ini juga diakui Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button