Parlimen

Tindak tanduk Radzi Jidin menjengkelkan – Shamsul Iskandar

Pengerusi Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan MADANI, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa supaya Datuk Dr Radzi Jidin perlu dikenakan tindakan atas kelakuannya di Dewan Rakyat.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata pihaknya akan meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk memulakan usaha menggantung tugas Radzi sebagai pengajaran kepada semua Ahli Parlimen.

“Adalah amat menjengkelkan apabila seorang bekas Menteri Kanan gagal menghayati prinsip Rukun Negara…Kesopanan dan Kesusilaan. Tindakan biadap Radzi yang ditunjukkan kepada seluruh negara tidak wajar dibiar begitu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Radzi Jidin dikritik ramai susulan tindakannya enggan mematuhi arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sewaktu sesi penggulungan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu diarah keluar daripada Dewan apabila terus mempertikai keputusan Johari berhubung kenyataan Anwar yang dikatakan mencalar maruahnya dan berulang kali meminta Johari membuat keputusan supaya Anwar menarik balik kenyataannya.

Keadaan itu menyebabkan berlaku kekecohan kira-kira 40 minit apabila berlaku pertikaman lidah antara beberapa Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan yang bangun serentak mempertahankan hujah masing-masing.

Sementara itu Shamsuk Iskandar menegaskan, Yang Dipertua Dewan Rakyat telah mengikut segala prosedur diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat termasuk meminta Perdana Menteri menjelaskan apa dimaksudkan dengan “pentadbiran Putrajaya” yang merujuk kepada pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Jelas, YB Putrajaya (Radzi) tersalah sangka kononnya ‘Putrajaya’ yang dimaksudkan adalah diri beliau. Yang Dipertua Dewan Rakyat seterusnya telah membuat keputusan menerima penjelasan itu berdasarkan Peraturan 99 iaitu Petua-petua Tuan Yang Dipertua.

“Sekiranya masih tidak berpuas hati, YB Putrajaya boleh membuat usul namun arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat telah tidak dihiraukan oleh beliau yang telah dikuasai emosi melampau hingga hilang sopan, hancur tatasusila dan mengganggu sesi penggulungan,” katanya.

Related Articles

Back to top button