Amizar calon tepat pertahan DUN Pelangai
Pemilihan Datuk Amizar Abu Adam, 53, sebagai calon Pilihan Raya Kecil Pelangai dianggap tepat dan menepati kriteria yang diperlukan pengundi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Amizar merupakan seorang yang berpendidikan, berjiwa rakyat dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan memang dikenali di semua peringkat Dewan Undangan Negeri Pelangai.
Tambahnya, pemilihan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong itu sebagai calon bagi mempertahankan kerusi DUN itu dibuat 1` setelah mengambil kira pandangan semua pihak dan mendapat restu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Amizar nak peneroka Felda Chemomoi antara tokoh muda yang digilap oleh mantan Menteri Besar, Tan Sri Adnan Yaakob yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Bentong.
“Saya penuh yakin para pengundi dapat menerima calon BN dan UMNO yang diyakini dapat meneruskan legasi dan jasa Allahyarham Datuk Seri Johari Harun bagi membangunkan DUN Pelangai,” katanya.
Amizar berkelulusan Ijazah Sarjana Strategic Management And Leadership dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Bachelor Of Business Administration With Honours Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Beliau banyak turut terlibat dengan aktiviti badan bukan Kerajaan (NGO) antaranya Pengerusi Kami Anak Felda Wilayah Mempaga, Bentong.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu.
Proses penamaan calon PRK DUN Pelangai ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR) di Dewan Felda Kemasul pada Sabtu 23 September ini manakala hari pengundian pada 7 Oktober depan.
DUN Pelangai mempunyai 16,456 pengundi termasuk pengundi terbesar datangnya dari Felda Chemomoi, Felda Sungai Kemahal dan Felda Kemasul.