Negeri

Dakwaan Orang Asli Pahang terpinggir hanya tohmahan pembangkang – Wan Rosdy

Dakwaan sesetengah pihak kononnya Orang Asli di Pahang dipinggirkan dan tidak dibantu hanya mainan pembangkang, tegas Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang itu ditemui pemberita ketika hadir ke program bersama komuniti Orang Asli Sungai Bot di Bentong berkata Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM12.32 juta tahun ini bagi meningkatkan taraf kehidupan komuniti itu dalam pelbagai aspek.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut bersetuju menyediakan 100 unit Rumah Rakyat Pahang secara percuma khusus kepada penduduk Orang Asli pada tahun ini dengan kos RM7.5 juta, selain peruntukan RM1.5 juta bagi membaik pulih rumah Orang Asli yang layak.

“Program PEDULI Orang Asli juga akan diperkenalkan melibatkan peruntukan RM200,000 bagi capai sasaran 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar Orang Asli yang dibantu menyambung pengajian ke peringkat pengajian tinggi,” katanya sambil menyifatkan tohmahan dibuat bertujuan mengelirukan komuniti berkenaan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Okt ini.

Selain itu, Wan Rosdy berkata bagi membantu menguruskan hal ehwal pembangunan sosio-ekonomi masyarakat berkenaan, Pahang Orang Asli Corporation atau ORACO, yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri juga telah ditubuhkan.

“Kita faham masyarakat Orang Asli ini ada budaya dan adat resamnya tersendiri, jadi nak memudahkan semua, kita di Pahang ini banyak lantik pemimpin dalam kalangan Orang Asli sendiri,” katanya .

Mengulas lanjut, Wan Rosdy turut menegaskan, tidak mustahil pada masa akan datang pentadbiran kerajaan negeri mempunyai wakil daripada Orang Asli sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seterusnya diangkat sebagai Pengerusi Jawatankuasa memegang portfolio berkait komuniti tersebut.

Related Articles

Back to top button