Parlimen

Johari bakal adakan lawatan rasmi ke China, dijadualkan bertemu Xi Jianping

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang bakal mengadakan lawatan rasmi sulung empat hari ke China bermula Sabtu ini akan menumpukan usaha meningkatkan hubungan Malaysia-China dalam kerangka legislatif dan isu kelestarian alam.

Pejabat Parlimen Malaysia dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, Johari akan ke Hangzhou untuk mengadakan pertemuan pelbagai hala bersama Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping selain menghadiri Sukan Asia ke-19 di Hangzhou.

“Lawatan rasmi ini adalah tindakan proaktif Parlimen Malaysia untuk memainkan peranan yang signifikan bagi melonjakkan hubungan Malaysia-China dalam kerangka legislatif dan perbincangan isu kelestarian alam yang pragmatik antara dua negara.

“Tahun ini adalah ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China dan kedua-dua negara juga akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada tahun 2024. Malaysia merupakan negara pertama di rantau ASEAN yang telah menjalin hubungan diplomatik dengan China sejak 1974,” menurut kenyataan itu lagi.

Pejabat Parlimen turut memaklumkan, lawatan itu adalah atas undangan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan Republik Rakyat China (NPC), Zhao Leji susulan pertemuan dua hala pemimpin-pemimpin legislatif itu pada 18 Mei lepas di Parlimen Malaysia.

Di Beijing, Johari turut dijadualkan akan menyampaikan syarahan umum “ASEAN dalam Abad Asia” kepada penuntut-penuntut Universiti Tsinghua untuk membincangkan peranan Malaysia yang bakal mempengerusikan ASEAN pada 2025 demi memperluaskan kepentingan rantau ASEAN.

Related Articles

Back to top button