Semasa

Menteri KPKM arah tambah bekalan beras di outlet FAMA, LPP

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengarahkan bekalan beras putih tempatan (BPT) segera diedarkan ke pusat jualan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Langkah itu bagi memastikan insiden kekecohan seperti yang berlaku di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Bagan Datuk, Perak apabila pembeli berebut membeli beras tidak berulang lagi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, selain mengarahkan bekalan beras segera diedarkan, perbincangan segera turut akan diadakan bersama pengilang dan pemborong bagi meningkatkan bekalan.

“Arahan turut dikeluarkan bekalan BPT segera dihantar ke semua pasaraya supaya orang ramai tidak hanya tertumpu kepada outlet FAMA dan LPP Kekecohan berlaku disebabkan oleh stok yang sampai ke outlet tersebut tidak mencukupi.

“Ini seterusnya menyebabkan beberapa pelanggan tidak berpuas hati kerana telah menunggu lama,” katanya

Dalam pada itu, Mohamad menjelaskan, FAMA mengedarkan 244 metrik tan BPT ke seluruh negara menerusi gerai-gerai usahawan bimbingannya setakat ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya membeli beras mengikut keperluan dan tidak menyimpan stok supaya lebih ramai pengguna dapat membeli BPT.

“Jangan khuatir kerana dari semasa ke semasa, stok BPT akan dihantar ke pasar raya dan bekalan dijangka kembali stabil dalam beberapa minggu lagi,” katanya.

Beliau menambah, para peniaga kecil-kecilan seperti penjual nasi lemak dan pengusaha kantin serta pengusaha pusat tahfiz supaya berhubung dengan FAMA dan LPP bagi menempah bekalan BPT yang diperlukan.

Related Articles

Back to top button